Friday, 16 December 2011

Manfaatkan Internet Untuk Amal Soleh

PADA masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari anda.


Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah S.A.W bersabda :



سَلُوا اللَّهَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَاسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عِلْمٍ لا يَنْفَعُ
Maksudnya: "Mohonlah kepada Allah ilmu yang bermanfaat, dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat"
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, Abdun bin Humaid dalam al-Musnad, al-Fakihi dalam Fawaid Abi Muhammad al-Fakihi.



Terdapat  tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet ini :

                  PERTAMA : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan,berkongsi, atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.


                                         



 Antara video yang boleh kita jadikan pengajaran. Video ini memberi impak yang besar dalam hidup saya. Cuba anda lihat video ini sendiri dan hayati mesej yang ingin mereka sampaikan.

                  KEDUA : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain game, mendengar lagu, berborak kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, "merayau-rayau" tanpa tujuan dan yang sewaktu dengannnya. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.
               
                  KETIGA : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat turun gambar-gambar tidak senonoh, melawat laman-laman porno, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumah tangga orang lain, berborak menggunakan bahasa kasar dan kesat, memuat naik gambar -gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. 

Kita sudah ada majalah Solusi, Tarbawi, GenQ, Fardu Ain, Majalah i, Q & A, dan lain-lain. Malaysia sudah 'kebanjiran' dengan majalah-majalah agama. Manfaatkannya untuk mengutip dan menyebarkan seberapa banyak mutiara ilmu di dalamnya.

Apa yang penting, pastikan apa yang anda peroleh dari pembacaan anda perlu dari sumber yang tepat dan bukannya mesej berantai, risalah-risalah yang entah dari mana sumbernya, dan emel yang tiada asasnya. Tidak pasti? Rujuklah individu yang lebih arif.



Firman Allah S.W.T:
"Bertanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui" (Surah an-Nahl ayat 43)


Konklusinya, terpulang kepada individu itu sendiri ingin berada dalam golongan yang ke berapa. Sesiapa yang memilih untuk menjadi golongan yang PERTAMA, orang itu amat bertuah. Oleh itu, tepuk tanyalah iman anda.

Hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW :
Sesungguhnya dalam badan manusia terdapat seketul daging. Jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh anggota badan manusia. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan manusia. Ketahuilah seketul daging itu ialah hati.

Sudah terang lagi bersuluh, hadis ini menunjukkan bahawa jika hati kita bersih daripada tompok-tompok hitam maka kita akan selamat. Jika hati kita penuh dengan tompok-tompok hitam maka binasalah kita. Ketahuilah tompok-tompok hitam itu ialah dosa yang kita lakukan.